Wednesday, November 14, 2018

Kerja Pertama

Seminggu selepas menghadiri sesi temuduga,saya menerima sepucuk surat tawaran meminta saya segera melaporkan diri untuk mengisi jawatan sebagai guru iqra' di Tabika Kemas.Alhamdulillah, ucapan syukur saya panjatkan pada Allah kerana berjaya mendapatkan pekerjaan itu.

Bulan Mac 2007,saya memulakan tugas sebagai guru yang akan mengajar murid-murid tabika awal mengenal Al Quran menggunakan buku iqra'.Perasaan bercampur baur pada mulanya kerana inilah pekerjaan pertama saya sebagai guru selepas tamat belajar.

Saya akui ketika melangkah masuk ke dalam kelas ada satu perasaan yang mana saya masih belum bersedia sepenuhnya bagaimana cara pengajaran dan pembelajaran yang akan saya sampaikam nanti.Ilmu pengetahuan ada tetapi pengalaman mengajar anak-anak kecil berusia di antara 4 hingga 6 tahun itu yang menjadi masalah.Rasa gementar dan malu juga ada sebenarnya.Namun cepat-cepat perasaan itu saya buang jauh-jauh dan betulkan niat dalam hati bahawa saya menerima kerjaya ini untuk menyampaikan ilmu mengenal Al Quran kepada anak-anak murid yang masih suci bersih hatinya.

Atas tunjuk ajar guru-guru yang lain,saya berjaya melalui fasa pertama pengajaran dan pembelajaran mengajar anak-anak murid membaca iqra'.Hari demi hari saya mula berasa suka dan seronok dengan kerja saya ini apatah lagi apabila ramai anak murid yang sudah boleh mengenal huruf hijaiyyah.Dan ada juga murid yang pandai membaca Al-Quran.

Sesungguhnya pekerjaan seorang guru itu mulia.Guru ibarat ibubapa di sekolah.Mengajarkan sesuatu ilmu yang kita tidak tahu kepada tahu.Disamping mengajarkan ilmu sebenarnya guru mendidik diri sendiri ke arah yang lebih baik agar menjadi contoh kepada anak-anak murid.

Terima kasih ibu,ayah dan guru-guru yang telah mencurahkan ilmu kehidupan untuk digunakan dalam menjalani liku-liku hidup dunia akhirat.Alfatihah untuk insan-insan yang telah pergi.

No comments:

Post a Comment

Pengalaman dan kepakaran